Monday, February 28, 2011

ABUK-ABUK

Gambar ihsanforum.wanitaniaga.com
4 auns sagu biji
1/4 buku gula melaka
1/4 biji kelapa parut - a mbil putih sahaja
1 sudu besar gula pasir
8 helai daun pisang - kira2 9 inci persegi
2-3 sudu besar air daun pandan pekat

Sediakan periuk kukus. Celur daun pisang dalam air panas. Basuh dan keringkan. Buat 8 kelongsong berbentuk kon. Potong gula melaka dan campurkan dengan gula pasir. Basuh dan toskan sagu biji dan warnakannya dengan air daun pandan. Gaulkan sagu dengan kelapa parut. Isikan tiap-tiapkelongsong itu dengan satu sudu besar campuran sagu tadi. Masukkan 1 sudu teh gula dan tutup gula dengan 1 sudu besar  lagi campuran sagu. Lipatkan kelongsong supaya rata tapaknya. Susun dalam kukus dan kukuslah selama 20 minit.

***Jika suka boleh juga dicampur dengan pisang raja yang sudah dihiris atau keledek yang sudah dipotong dadu.

Sunday, February 27, 2011

HALUA BETIK

1/2 biji betik muda
1 kati gula pasir
4 tahil gula batu
2 gelas air
sedikit garam dan kapur makan


Betik dibuang kulit dan direndam seketika dalam air garam. Gubahlah betik ikut sesuka hati dan rendam di dalam air kapur. Masak air gula dan sejukkan. Masukkan betik ke dalam air gula. Masukkan dalam bekas bertutup. Pastikan air gula ditambah selalu.

PUTU PIRING

2 tin susu tepung beras -dijemur kering
1/2 biji kelapa -ambil putih sahaja
sedikit garam
2 buku gula melaka - dilecek halus
daun pisang - potong bulat
kain jarang


Tepung beras dilembabkan dengan air, dikiraikan hingga jadi serbuk roti. Kemudian dibungkus dengan kain jarang dan dikukus hingga masak. Seelok-eloknya letakkan daun pandan di bawahnya. Bila layu menandakan tepung sudah masak, lepas itu diayak semula.

Panaskan acuan, mula taburkan sedikit tepung. Letakkan sedikit gula dan taburkan kembali tepung tadi. Tekan sedikit supaya tepung bersatu. Balut dengan kain yang telah dilembabkan. Kukus hingga masak.


Saturday, February 26, 2011

MASAK LODEH NENAS

1 biji nenas - buang kulit, bersihkan dan cincang halus2
4 tahil fuchuk - rendam
1/2 biji kelapa - ambil 2 mangkuk santan pekat
4 tahil soohoon - rendam
2 biji tauhu - dipotong dadu
2 biji telur
8 ulas bawang merah - dimayang
4 ulas bawang putih- dimayang

Potong soohoon dan fuchuk 1 -2 inci.. Pukul santan bersama telur. Panaskan minyak, tumis bawang merah dan bawang putih hingga layu. Masukkan tauhu, soohoon, fuchuk dan nenas, Masukkan campuran santan dan telur. Masak hingga mendidih.

Thursday, February 24, 2011

LEPAT PISANG


1/2 paun pisang emas atau pisang raja
2 oz gula pasir
1/4 biji kelapa parut  (ambil putih sahaja)
1 1/2 oz tepung gandum
8 helai daun pisang (kira2 6 inci lebar)
2 helai daun pandan (basuh dan potong sepanjang 2 inci)

Sediakan pengukus. Layur kemudian lap daun pisang. Kupas pisang dan lecekkannya. Campurkan gula, kelapa dan tepung. Sediakan daun pisang. Letakkan sepotong daun pandan di atasnya. Masukkan satu sudu besar penuh campuran pisang tadi di atasnya. Bungkus dan kukus selama 15 -20 minit.

MEE JAWA

1 kg mee kuning
300 g sayur sawi - dipotong i inci panjang
300 g kobis - dicincang hallus
1 buku tulang daging
2 biji tomato - dihiris nipis
1 botol sos tomato
1 tin tomato heinz - sederhana
1 buku belacan
3 biji telur ayam - rebus, buang kulit dan belah 2
300 g udang - buang kepala dan ekor
1/2 kg daging
1 labu bawang besar
1/2 kg taugeh
6 biji cili merah
8 ulas bawang merah
6 ulas bawang putih
1 biji lobak merah
2 tangkai daun bawang
2 tangkai dun sup
1 paket sup bunjut
garam secukup rasa
1 sudu teh serbuk kunyit

Rebus daging bersama tulang. Masukkan sup bunjut. Bila daging sudah empuk, keluarkan dan hirislah nipis dan halus. Masukkan tomato heinz ke dalam air rebusan daging dan biarkan hingga mendidih. Gaul udang dengan serbuk kunyit dan sedikit garam, kemudian goreng. Gaulkan bahan kisar dengan sedikit air mendidih. Panaskan 2 sudu minyak dan tumis bahan-bahan ini hingga naik baunya. Angkat dan asingkan.

Panaskan 3 sudu minyak dalam kuali. Tumis bawang putih dan bawang merah. Masukkan segengam taugeh, sawi dan kobis. Biar sampai layu. Tuang 1 1/2cawan air rebusan tadi. Masukkan mee dan 1 sudu ramuan yang diasingkan tadi dan 1 sudu sos tomato. Tutup kuali sampai kuah mendidih.






Wednesday, February 23, 2011

ONDEH-ONDEH KELEDEK

1//2 kati keledek putih - cuci dan rebus atau kukus dengan kulitnya
1/2 sudu besar tepung ubi
1 sudu besar tepung gandum
1/4 gula melaka
1/2 sudu besar gula pasir
1/4 biji kelapa parut (ambil putih sahaja) - gaulkan dengan sedikit garam
1 - 2 sudu besar air daun pandan pekat

Potong-potongkan gula melaka dan campurkan dengan gula putih. Kupas keledek dan buang kulitnya. Lecek dan campurkan tepong yang sudah diayak supaya menjadi doh yang lembut. masukkan air daun pandan untuk mendapatkan warna yang cantik. Letakkan doh di atas papan canai yang ditabur tepung dan gentelkan sebesar biji guli. Lubangkan di tengahnya dan masukkan sedikit gula. Bulat-bulatkan seperti guli dan rebus di dalam air mendidih sehingga ia timbul. Toskan betul-betul kemudian gaulkan dalam kelapa parut.

KUIH DADAR (KETAYAP)

4 oz tepung gandum
1 butir telur
1/2 pt. air daun pandan
secubit garam
2 helai daun pandan

Untuk inti:
1/4 biji kelapa parut
1/2 buku gula melaka
1/2 sudu besar gula pasir
1/2 sudu teh tepung ubi
secubit garam

Ayak tepung dan garam ke dalam mangkuk. Kuakkan ditengah-tengahnya. Masukkan telur dan 1/2 sukatan air pandan. Adunkan rata-rata supaya tidak bergentel. Pukul selama 10 minit. Tuang baki air pandan dan biarkan adunan beter itu selama 1/2 jam.

Masakkan intinya: Masak gula melaka dan gula pasir dengan 2 sudu besar air. Gaulkan kelapa dengan sedikit garam. Masukkan kelapa dalam gula tadi dan masak hingga kering. Masukkan tepung ubi yang telah dibancuh dengan sedikit air supaya intinya jadi sebati. Sejukkan inti itu.

Tuangkan beter kedalam sebuah jag. Simpulkan daun pandan supaya boleh digunakan untuk melenser. Panaskan kuali dan sapukan minyak dengan simpulan daun pandan tadi. Tuang secukup bancuhan beter untuk mendapatkan dadar nipis. Goreng hingga masak (kekuning-kuningan) sebelahnya. Angkat dadar , letakkan inti dan gulung dengan kemas. Ulangi hingga habis beter.
**Adunan ini menghasilkan 8 - 10 gulung kuih dadar. Gandakan sukatan untuk mendapatkan lebih banyak bilangan kuih.


Tuesday, February 22, 2011

KUAH KACANG ALA MAK TOK

30 biji cili kering - dikisar dengan sedikit air
1/2 kati kacang tanah
3 biji buah keras - ditumbuk
2-3 sudu kerisik
10 ekor udang kering -bersihkan dan tumbuk
1/2 cawan air asam jawa
2 senduk sederhana gula
2 ulas bawang putih - ditumbuk
2 ulas bawang merah - ditumbuk
sedikit belacan
2 senduk minyak masak
garam secukup rasa

Goreng kacang tanah tanpa minyak dan kisar sampai hancur. Panaskan minyak dan tumis bahan-bahan yang ditumbuk. Gaulkan kacang tanah dan cili kering yang telah dikisar bersama udang kering.Masukkan kesemuanya dalam bahan yang ditumis tadi. Biarkan sampai mendidih. Masukkan garam dan gula . Kacau biar sampai naik minyak. Masukkan air asam jawa dan tambah 1 cawan air lagi. Biar sampai mendidih sekali lagi.

Monday, February 21, 2011

KERABU PUCUK PAKU

4 tahil pucuk paku
2 sudu udang kering
10 biji cili padi
1 biji limau nipis
10 ulas bawang merah
2 cawan kelapa (dibuat kerisik)
1 inci belacan
1 cawan isi kerang yang sudah direbus

Pucuk paku dipotong antara 1-1 1/2  inci , dicelur dan toskan. Kisar udang kering, belacan, cili dan bawang. Gaul bersama kerisik dan sedikit garam. Masukkan kerang dengan perahan air limau nipis.Gaul rata sebelum dimasukkan pucuk paku. Gaul sekali lagi dan sesuaikan rasanya.

Sunday, February 20, 2011

KUAH DAL

1 kati daging lembu - dicincang
4 tahil kacang dal (parpu) - rebus hingga empuk dan ditoskan
2 tahil cili kering
10 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
2 buku halia - sebesar ibu jari
3 kuntum bunga lawang
2 biji buah pelaga
3 inci kulit kayu manis
3 cawan santan
1 kati ubi kentang - buang kulit dan potong dadu
asam jawa
3 tangkai daun kari
garam


Cili kering, bawang merah, bawang putih, halia, bunga lawang, kulit kayu manis dan buah pelaga dikisar halus. Panaskan 1 senduk minyak dan tumis daun kari. masukkan bahan-bahan yang dikisar tadi. Biar sampai pecah minyak. Masukkan daging. Masak biar sampai empuk. Kacau selalu. Masukkan santan dan sedikit air asam jawa. Masukkan kacang dal dan biar sampai mendidih, masukkan ubi kentang. masukkan garam secukup rasa. Masaklah sampai mesra semuanya.

Saturday, February 19, 2011

ROTI CANAI MAK JANG

resepiwarisanbonda.blogspot.com
1 kg tepung
1/2 tin susu pekat manis (manis cream creamer)
2 sudu teh garam - jangan penuh
1 1/2 gelas besar air (max)
1 sudu besar gula

Bancuhkan susu dengan air. Masukkan garam, gula (secukup rasa). Kemudian masukkan tepung sedikit demi sedikit. Uli perlahan-lahan. Tepung tidak perlu dihabiskan kesemuanya. Bila semuanya sudah sebati dan cukup kelembutannya, simpan dan perap selama 1 jam.  Selepas itu bolehlah dibentukkan bulat-bulat. Sapu margerin semasa proses membulat secukupnya. Bila semuanya selesai, tutup tetapi jangan rapat. Esoknya barulah boleh ditebarkan.

SANDWICH SARDIN

resepiwarisanbonda.blogspot.com
1/2 buku roti
2 ekor sardin (dalam sos tomato)
1/4 biji timun
1/2 sudu besar bawang merah - dicincang
1/2 biji limau kasturi
mentega, garam, lada sulah

Sediakan inti - Masukkan bawang dalam mangkuk. Perah air limau ke atasnya. Gaul rata. Basuh dan hiris timun nipis-nipis. Buang tulang sardin dan hancurkan isinya. Campurkan bawang, lada sulah, garam serta sedikit kuah sardin kepada isi sardin tadi. Gaulkan rata.

Sapukan mentega pada roti dua dan aturkan berpasang-pasangan. Bahagikan inti mengikut berapa banyak sandwich yang hendak dibuat. Ratakan inti di atas tiap-tiap satu daripada 2 keping roti itu. Aturkan hirisan timun, tangkupkan dengan 1 keping roti lagi. Buang kulit-kulit roti itu dan potonglah mengikut bentuk yang dikehendaki

SANDWICH TELUR


1/2 buku roti sanwich
3 biji telur
1-3 sudu besar mayonis
1/4 biji timun
 mentega.garam, lada sulah
1biji tomato
daun salad

Rebus telur hingga masak. Sejukkan dalam air sejuk. Basuh dan cincang timun atau boleh juga dipotong nipis-nipis. Buang kulit telur dan hancurkan telur dengan garfu. Campurkan mayonis, garamdan lada sulah. Gaulkan rata sampai mesra. (kalau timun tadi dicincang, gaulkan bersama dalam inti ini). Sapukan roti dengan mentega. Jika suka , susun hirisan timun salad dan tomato. Masukkan inti dan buang kulitnya.  Potonglah ikut bentuk yang dikehendaki.

Friday, February 18, 2011

ROTI TELUR GORENG

2 keping roti
1 biji telur
2 camca besar susu
sedikit garam
minyak/mentega
jem atau madu
Pecahkan telur ke dalam mangkuk dan masukkan garam dan susu. Pukul dengan garfu. Panaskan minyak (2 sudu ) dalam kuali. Potong roti kepada 2 bahagian dari pepenjuru membentuk segitiga. Celupkan roti ke dalam campuran telur. Goreng roti sekeping-sekeping hingga berwarna keperang-perangan kedua-dua belah roti itu. Toskan secukupnya dan hidangkan dengan jem atau madu.

TELUR MASAK HANCUR

2 biji telur
2 camca besar susu
1 camca teh mentega
4 keping roti
garam dan lada sulah

Pukul telur supaya bercampur kuning dan putihnya. Masukkan garam, lada sulah dan susu. kacau sehingga sebati. Cairkan mentega dalam periuk kecil dan curahkan campuran telur tadi. Masaklah dengan api yang sederhana dan manakala telur mula pekat, kacaulah perlahan2 supaya tidak lekat.Biarkan hingga rata masaknya. Hidangkan segera di atas roti bakar panas bermentega dan hiaskan dengan setangkai pasli.

****Resepi simple aje

Thursday, February 17, 2011

KAZIKMA BONDA

1 kati daging
1 labu bawang besar - potong bulat
2 biji cili merah
1/2 botol tomato soup
minyak sapi
1 tin susu cair
bawang goreng
sedikit daun bawang dan daun sadri

Bahan dikisar
1 kuntum bunga lawang
5 kuntum bunga cengkih
2 sudu teh lada putih
1 sudu teh (rata) jintan manis
sedikit kulit kayu manis
10 ulas bawang merah
5 ulas bawang putih

Bersihkan daging. Potong kepada empat bahagian. Gaul dengan bahan yang dikisar. Campurkan tomato dan susu cair. Rebus dengan api yang sederhana sehingga daging empuk. Masukkan sedikit minyak sapi dan biar sampai pecah minyak. Masukkan garam secukup rasa. Masukkan bawang besar.Angkat dari api dan masukkan dalam bekas. Taburkan bawang goreng, hirisan daun bawang dan daun sadri.

NOTA: Hidangan ini sesuai untuk pengantin. Lubangkan separuh nenas atau buatkan raga daripada nenas. Tuang daging tadi dan hiaslah mengikut cita rasa anda.

Wednesday, February 16, 2011

ACAR NENAS BONDA

1 biji nenas sederhana masak -belah 16 dan potong kecil2
1 cawan cuka (anggaran)
1 cawan cili giling
1/2 kati bawang merah - dibuang kulit dan dibersihkan
3 labu bawang putih - dibuang kulit dan dibersihkan
10 biji cili hijau - dibelah 2 dan dibuang biji, bersihkan
2 kotak kismis kuning
3 cawan gula (anggaran)
3 sudu bijan - goreng tanpa minyak
(kulit kayu manis, buah pelaga, bunga cengkih, bunga lawang)- bahan tumis

Basuh nenas dan letakkan dalam penapis. Celur dengan menuangkan air yang baru mendidih. Toskan. Buat langkah yang sama pada bawang putih , bawang merah dan cili hijau. Mayang 2 ulas bawang putih dan 4 ulas bawang merah. Panaskan minyak dalam periuk dan tumis bawang bersama bahan tumis. Masukkan cili dan goreng hingga garing. Tuangkan cuka dan 1 cawan air. Biarkan sampai mendidih. Masukkan gula. Kacau selalu sampai pekat. Masukkan nenas, bawang cili hijau dan kismis. Rendidih dengan api yang sederhana. Masukkan bijan dan rendidih lagi selama 20 minit.

Tuesday, February 15, 2011

NASI ULAM MAK TOK

1 biji kelapa untuk dibuat kerisik
segenggam udang kering - goreng tanpa minyak
1 ikat daun
1 sudu besar lada hitam - ditumbuk
4 - 5 cm isi ikan kering (talang/plotan) - bakar
5 inci lengkuas
4-6 batang serai
2 inci halia
1 labu bawang besar

Tumbuk lada. Tumbuk ikan kering dan udang kering yang telah digoreng. Asingkan semua bahan. Tumbuk lengkuas, serai dan halia juga berasingan. Tumbuk kerisik jangan sampai berminyak. Hiris daun halus-halus. Mayang bawang besar. Campurkan semua adunan dan campurkan semua bahan. Gaulkan adunan dengan nasi yang telah disejukkan (anggaran 1 pinggan tambah. (Sesuai dimakan dengan sayur keladi)

****Daun-daun nasi ulam ( 10 - 12 jenis dah memadai, kalau dapat semua lagi baik, awet muda)

-daun kaduk, pucuk cememak,pucuk cenerai, daun pedina, pucuk gajus, daun pegaga, daun bebuas, daun lemuni hitam dan lemuni putih, pucuk beluntas, daun daun cenehom, selom, ulam raja, pucuk daun kari, daun sekentut, daun mengkudu, pucuk putat, daun kunyit, daun cekur, daun jintan hitam, daun ruku, daun mata itik, pucuk cermai, daun lemuju, pucuk mempelam, pucuk jambu mawar, daun limau purut, daun gorek, daun mangkuk, daun sabung nyawa, daun peria pantai.

AYAM PANGGANG BERSANTAN

(Cara Minangkabau)

1 ekor ayam sedang besarnya
1 mangkuk sedang pati santan kelapa tua
4 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
2 inci lengkuas
1 batang serai
5 biji cili merah
1 inci kunyit
2 biji buah keras
1 sudu teh jintan manis
1 sudu teh jintan putih
asam jawa dan garam secukup rasa

Ayam dibersihkan dan dibelah dua. Semua bahan kecuali asam jawa hendaklah dikisar halus. Tumis bahan kisar dengan minyak secukupnya hingga masak. Masukkan ayam dan digaul rata terutama disebelah dalam ayam. Biarkan sebentar dan tutup rapat-rapat hingga mengeluarkan wap. Bila ayam sudah empuk, masukkan santan. Tutup dan biarkan hingga mendidih. Kacau dan masukkan garam. Masukkan air asam jawa.-Bonda

Sunday, February 13, 2011

KERABU BIHUN

1 keping bihun
20 g udang kering - basuh dan rendam
1 mangkuk kecil taugeh
6 batang kucai
1 batang daun sup
4 ulas bawang merah - dimayang
1/2 biji kelapa parut
1 biji telur - direbus

Bahan untuk sambal
6 biji cili merah
belacan sebesar ibu jari - dibakar
2 biji limau nipis
3/4 sudu teh garam

Rendam bihun selama 20 minit dan toskan. Bersihkan semua sayuran. Potong kucai dan daun sup sepanjang 2 inci. Celur bihun, taugeh dan kucai berasingan. toskan.

Goreng kelapa parut sebanyak 4 sudu di atas api yang kecil hingga kekunig-kuningan. Tumbuk halus dan jangan sampai pecah minyak. Perah satu cawan pati santan dari kelapa yang selebihnya. Goreng udang kering tanpa minyak dan tumbuk.

Tumbuk cili merah, belacan dan garam untuk dibuat sambal. perahkan air limau nipis. Campurkan semua bahan sehingga sebati.




STEAK IKAN BAWAL

1 ekor ikan bawal besar
3 labu bawang besar - belah 4
3 sudu kicap pekat
4 sudu minyak sapi
8 kuntum mushroom
1 inci halia - ditumbuk
2 batang serai - dimayang dan ditumbuk
1 sudu teh serbuk kunyit
4 sudu taucu
7 sudu susu tepung - bancuh dengan 1 mangkuk air panas

Bahan-bahan untuk dikisar
3 inci halia sebesar ibu jari
10 biji cili kering
10 ulas bawang putih


Ikan disiang dan dikelar. Panaskan minyak sapi. Masukkan bahan-bahan yang dikisar hingga naik baunya. Masukkan taucu, air susu dan kicap dan biarkan sampai mendidih. Gaulkan ikan bersama halia, serai dan sebuk kunyit. kukus bersama mushroom dan bawang besar. Apabila ikan masak, masukkan ke dalam kuah tadi dan masak sehingga sebati.

NASI TOMATO


2 cawan beras
3 cawan air
2 sudu besar minyak sapi
3 oz tomato tin
½ cawan bawang merah dimayang
2 ulas bawang putih -ditumbuk
2 biji bawang putih
3 biji buah pelaga
3 cm kulit kayu manis
4 kuntum bunga cengkih
2 cm halia - ditumbuk
Garam,kismis,
10 biji buah badam – goreng tanpa minyak

Basuh beras dan toskan. Panaskan minyak sapi. Masukkan buah pelaga, bunga cengkih, kulit kayu manis. Masukkan bawang merah, bawang putih dan halia. Biarkan sampai naik bau.Masukkan beras, tomato, garam dan air. Tutup dan biarkan selama 20 minit. Selepas itu,masukkan badam. Kacau rata-rata. Akhir sekali masukkan kismis dan bolehlah dihidangkan.

NASI BERIANI

4 biji cili hijau - dicincang halus
3 cawan susu Ideal
3/4 cawan air
2 cawan air limau ayau cuka
1/2 ekor ayam - dibelah 4
1/4 cawan minyak sapi
1 labu bawang besar - dicincang halus
7 kuntum bunga cengkih
1/2 sudu teh jintan putih
2 inci kulit kayu manis
1 sudu teh halia yang sudah ditumbuk
3/4 sudu teh serbuk kunyit
2 kiub pati ayam
2 cawan beras

Bersihkan ayam dan perap bersama susu cair dan air limau selama 20 minit. Panaskan minyak sapi dan tumis bawang besar hingga kekuning-kuningan. Masukkan bawang putih, cili hijau, bunga cengkih, kulit kayu manis, jintan putih dan halia. Kacau selama 2 - 3 minit. Masukkan ayam dan kunyit. Tutup periuk dan tunggu hingga ayam lembut. Keluarkan ayam dan asingkan. Tambahkan air ke dalam periuk sehingga menjadi 2 1/2 cawan, kemudian masukkan kiub pati ayam. Kacau hingga hancur. Masukkan beras dan biarlah sampai nasi masak.

*Ayam boleh digantikan dengan 300 g daging.

Saturday, February 12, 2011

IKAN BAKAR BERINTI



















2 ekor ikan cencaru
1/4 biji kelapa
2 helai daun kunyit
10 ulas bawang putih
1 sudu teh lada hitam
10 biji cili kering
1 sudu jintan manis
garam dan gula secukup rasa

Ikan disiang dan dibuang perut serta di belakang. Kisar kelapa, bawang putih, lada hitam cili kering, garam dan gula hingga sebati. Potong daun kunyit dan gaulkan bersama bahan yang dikisar dan sumbat ke bahagian belakang ikan tadi. Ikat ikan dengan dawai dan bakar.

BIHUN SUP

4 ketul tulang lembu
1 bungkus bihun
2 biji telur
300 g daging - rebus dan potong nipis
300 g lobak masin - potong dadu
2 biji lobak merah - potong dadu
2 biji ubi kentang - potong dadu
5 sudu minyak makan
2 biji telur - rebus
1 sudu serbuk kunyit
daun bawang - potong panjang 1 inci
daun sup - potong sepanjang 1 inci

Bahan yang perlu dikisar
3 kuntum bunga lawang
2 biji buah pelaga
2 inci kulit kayu manis
10 kuntum bunga cengkih
3 ulas bawang putih
4 ulas bawang merah
1 buku halia sebesar ibu jari

Rendam bihun dengan serbuk kunyit (lebih kurang 1-2 jam). Sesudah kembang, toskan. Panaskan minyak. Tumis bahan-bahan yang dikisar. Kacau perlahan-lahan supaya tidak hangit. Masukkan sedikit air. Perlahankan api. Masaklah hingga naik baunya. Masukkan tulang daging dan 4.5 liter air. Rebuslah tulang hingga mendidih. Masukkan kentang dan lobak merah Biarkan terus mendidih selama 15 minit lagi. Masukkan daun sup dan daun bawang ke dalam air rebusan.

Cara menghidang
Celur bihun. Letakkan dalam pinggan. Letakkan hirisan daging, telur dan lobak masin. Tuangkan sup dan taburlah bawang goreng. Kalau nak pedas buatlah sambal kichap.

SUP SAYUR SAWI

1/2 kg sawi - dibersihkan dan dipotong
15 ekor udang - dibuang kulit dan dibersihkan
5 biji fish ball - dibelah empat
4 ulas bawang putih - ditumbuk
2 ulas bawang merah - ditumbuk
2 sudu minyak
3 cawan air
garam, gula

Panaskan minyak. Tumis bawang putih dan bawang merah sampai kekuning-kuningan. Masukkan air,fish ball dan udang. Biarkan hingga mendidih. Masukkan sayur bersama garam dan sedikit gula. Kacau hingga rata dan angkat. Sayur jangan dibiarkan terlampau layu.

Friday, February 11, 2011

ACAR MENTAH

1 biji nenas sederhana besar
2 biji timun
2 labu bawang besar - belah 2 dan dihiris nipis
2 biji cili merah
2 biji cili hijau
2 - 4 sudu cuka
1 sudu gula
garam secukup rasa

Buang kullit nenas. Belah empat dan buangkan sedikit bahagian yang keras. Potong nipis-nipis. Timun dibersihkan dan dibelah dua. Potong nipis-nipis. Cili merah dan cili hijau dibuang bijinya, dan dipotong memanjang. Campurkan semua bahan yang telah dipotong. Masukkan garam, gula dan cuka. Gaul hingga rata.
Bagi mereka yang suka pedas, bolehlah gantikan cili hijau dengan cili padi.

Thursday, February 10, 2011

IKAN MASAM MANIS

1 ekor ikan bawal atau ikan kurau
3 1/2 cawan air
2 sudu makan sos cili
4 sudu makan sos tomato
3 sudu makan gula pasir
1 sudu makan sos tiram
1 1/2 sudu makan cuka (kalau suka)
1/2 sudu makan tepung jagung -dibancuh dengan sedikit air
1/2 sudu teh garam
1/2 sudu teh lada sulah
1 tangkai daun bawang - potong 1 inci panjang
minyak masak

Bersihkan ikan. Lumur dengan lada sulah, garam dan sedikit air halia. Panaskan minyak dan goreng ikan sampai kekuning-kuningan. Angkat dan letakkan di dalam pinggan.
Panaskan kuali dengan 3 sudu sedang minyak tadi. Masukkan semua jenis sos. Masukkan air, gula, cuka dan garam secukup rasa.Masukkan air tepung jagung.Kacau hingga masak. Masukkan daun bawang. Tuangkan ramuan ini ke atas ikan.

Wednesday, February 9, 2011

JERUK TAUHU

10 keping tauhu (dipotong 6-8)
1 sudu minyak makan
5 ulas bawang putih - dimayang
10 ulas bawang merah - dimayang
1 cawan susu cair
1/2 cawan cuka padi
2 sudu kicap pekat
minyak untuk menumis
garam dan gula secukup rasa

Bahan-bahan untuk dikisar
4 biji buah keras
1 potong halia
1 batang serai
15 biji cili burung (padi)
1 sudu sedang gula merah
1 camca teh garam

Panaskan minyak. Tumis bawang putih dan bawang merah hingga layu. Masukkan bahan-bahan yng dikisar dan goreng hingga naik baunnya. Masukkan susu cair. Biar selama 15 minit dengan api yang perlahan. Masukkan tauhu, biar sampai mendidih. Renihkan hingga tauhu masak.

Tuesday, February 8, 2011

PINDANG REMPAH SOTONG

1/2 kg sotong basah - bersihkan
3 sudu besar minyak kelapa
2 ulas bawang putih - dicincang halus
6 ulas bawang merah - dimayang
1 labu bawang besar - dicincang
1 batang serai - dihiris nipis
i inci halia sebesar ibu jari
1 inci lengkuas sebesar ibu jari
2 helai daun limau purut
1/2 cawan air
1/2 cawan biji badam - dikisar
2 sudu teh air limau
garam secukup rasa

Bahan-bahan untuk dikisar
2 biji cili merah
5 sudu teh lada sulah
1 sudu teh biji rempah - goreng tanpa minyak
1 sudu teh jintan manis
1 sudu teh jintan putih
1/2 inci kunyit hidup sebesar ibu jari
1/2 inci belacan - dibakar

Panaskan minyak. Goreng bahan-bahan yang dikisar sampai kekuning-kuningan.Masukkan serai sampai hilang baunya. Masukkan halia, lengkuas, daun limau purut dan air (1/2 cawan). Masaklah hingga mendidih. Masukkan sotong bersama badam serta garam. Kacaulah perlahan-lahan sehingga sotong layu. Tuangkan air limau, tambah air jika perlu biar sesuai dengan kehendak sendiri. Tutup dan biar sampai mendidih. Hidangan ini sedap dimakan semasa panas.

Monday, February 7, 2011

KARIPAP

Bahan-bahan untuk kulit
600 g tepung gandum
4 oz margerin
sedikit air

Bahan-bahan untuk inti
300 g daging cincang
1 biji bawang besar - dipotong dadu
4 biji ubi kentang / keledek - dipotong dadu

Bahan-bahan rempah
2 sudu besar ketumbar
1/2 sudu sedang jintan manis
1/2 sudu sedang jintan putih
7 biji cili kering
3 biji lada hitam
1/2 sudu teh serbuk kunyit

Bahan untuk tumis
3 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga
1 inci kulit kayu manis

Mesin kesemua bahan untuk rempah hingga hancur. Panaskan minyak dalam periuk. Tumis bahan-bahan tumis. Masukkan rempah yg dikisar, masukkan sedikit garam dan gula. Setelah agak sebati, masukkan daging dan tutup sebentar lebih kurang 10 minit. Masukkan ubi kentang/keledek. Biar sampai empuk baru dimasukkan bawang besar dan sedikit air. Kacaulah sehingga masak.

Untuk kulitnya pula, ayak tepung dalam mangkuk. Bancuh 1 sudu teh garam. Tuang ke dalam tepung. Masukkan margerin, gaul dengan menggunakan hujung jari. Setelah rata masukkan air. Ulilah hingga jadi sebuku roti. Canaikan tepung lebih kurang 1/2 cm tebal. Terap dengan acuan. Masukkan inti, kelim tepinya, kemudian goreng hingga masak kekuning-kuningan.





Saturday, February 5, 2011

SATAY

Bahan-bahan untuk daging

600 g daging - (dipotong nipis)
4 batang serai (dipotong halus)
6 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
2 cm halia - sebesar ibu jari
1 sudu serbuk kunyit

Semua bahan dimesin, kecuali daging. Gaulkan bahan yang dimesin bersama daging. Masukkan 4 sudu makan gula , 1 sudu teh garam dan peramlah hingga keluar air (lebih kurang 15 minit).
Semasa membakar, renjislah dengan santan, minyak kelapa dan sedikit kunyit.

#Kalau gunakan ayam 1 ekor - sukatan gula ialah 600 g.

bahan-bahan kuahnya.

600 g kacang tanah - goreng tanpa minyak dan dimesin
6 cawan air
75 g bijan - goreng tanpa minyak hingga kekuningan
50 g biji gajus - goreng tanpa minyak dan ditumbuk
100 g udang kering - goreng tanpa minyak dan ditumbuk
50 g kerisik
600 g gula putih
1 sudu garam halus
20 biji cili kering - dimesin
2 biji buah keras - ditumbuk halus
2 batang serai - diketuk
Minyak untuk menumis

Tumis cili yang dah dimesin bersama udang kering, biji gajus, buah keras sampai garing
Masukkan kacang dan kerisik. Masukkan air. . Biar sampai mendidih. Masukkan garam dan gula. Renihkan selama 20 minit.Biar sampai kuah pekat. Masukkan serai dan biar sampai naik minyak.

Thursday, February 3, 2011

SAMBAL NYIUR DAUN PUDINA

Bahan A
15 biji cili muda
1/4 biji kelapa parut
10 biji bawang merah

Bahan B
20 tangkai daun pudina - dimayang
4 tangkai daun kari - dimayang

asam jawa secukup rasa
garam


Tumbuk kesemua bahan A sampai lumat. Masukkan garam dan air asam jawa. Masukkan Bahan B. Gaul rata.

Wednesday, February 2, 2011

ACAR SAYUR CAMPUR

15 batang kacang panjang (potong anggaran 3 cm)
300 g kobis (dimayang)
2 biji timun (dibuang pulurnya- dipotong anggaran 3 cm)
6 biji cili merah
6 biji cili hijau (dibelah dua)
2 sudu besar kapur makan
4 ulas bawang putih(dimayang)
8 ulas bawang merah (dimayang)
1/2 cawan cuka
air secukupnya untuk merebus sayuran
garam dan gula secukup rasa
1/2 cawan bijan (digoreng tanpa minyak hingga kekuningan)
2 sudu minyak masak

Bahan untuk dimesin
10 biji buah keras
2 cm belacan
10 biji bawang merah
6 ulas bawang putih
15 biji cili kering
1/2 cawan udang kering

Sayur-sayuran tadi direbus setengah empuk. Diangkat dan dibilas bersih. Toskan hingga kering airnya. Panaskan minyak. Tumis bawang putih dan bawang merah hingga kuning. Masukkan bahan yang dimesin tadi. masak hingga hilang baunya. Masukkan gula,cuka dan garam. Masak hingga mendidih. Kecilkan api, masukkan bijan . Masukkan sayuran dan kacau perlahan-lahan sekali sekala. Masak lebih kurang lima minit. Hidangkan dan biarkan sejuk baru sedap dimakan.




Tuesday, February 1, 2011

MASAK AYAM TIGA JANDA

Bahan :
1 ekor ayam (sederhana besarnya)
20 biji cili merah
2 biji buah tomato
10 ulas bawang merah - mayang
3 ulas bawang putih - mayang
1 mangkuk pati santan
2 sudu kicap manis
1 sudu kicap pekat
1/4 cawan air asam jawa
1/2 cawan gula putih
garam secukup rasa

Rebus cli merah hingga lembut. Mesin bersama tomato hingga hancur. Gaulkan ramuan ini bersama ayam. Panaskan minyak. Tumis bawang putih dan bawang merah hingga kekuningan. Masukkan ayam dan pati santan. Masak hingga ayam empuk. Masukkan air asam, gula putih, kicap manis dan kicap pekat. Masukkan garam secukup rasa. Didihkan dengan api yang perlahan hingga setengah pekat kuatnya.

Selamat mencuba.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...